Proses dan perjalanan pilihan raya Pilihan_raya_umum_Malaysia_1969

Pembubaran Parlimen

DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan AgongTuanku Ismail Nasiruddin Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin secara rasmi mengumumkan pembubaran Parlimen dan Dewan-dewan Undangan Negeri berkuatkuasa 20 Mac 1969 kecuali Kelantan pada 31 Mac 1969. Pilihan raya bagi Dewan Negeri Sabah pula tidak diadakan kerana penggal Dewan Undangan Negeri masih berbaki tiga tahun lagi untuk dibubarkan. Mengikut perlembagaan, Pilihan raya Umum di Malaysia Barat hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran diumumkan, manakala Malaysia Timur pula 90 hari. [1]

Pengumuman tarikh dan penghebahan

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ahmad bin Perang telah mengumumkan bahawa hari mengundi bagi pilihan raya Parlimen dan DUN kecuali untuk DUN Sabah ditetapkan pada hari Sabtu, 10 Mei 1969. Hari mengundi di Sabah pula ditetapkan pada 10 Mei hingga 25 Mei 1969, manakala Sarawak pada 10 Mei hingga 7 Jun 1969. Hari penamaan calon bagi pilihan raya Parlimen dan negeri kecuali Kelantan ialah pada Sabtu, 5 April 1969. Hari penamaan calon bagi negeri Kelantan ditetapkan pada Sabtu, 12 April 1969. [1]

Lebih sejuta risalah panduan mengundi akan disebarkan ke seluruh negara menjelang pilihan raya pada pertengahan bulan Mei 1969. Risalah terbitan dan edaran Jabatan Penerangan itu mengandungi empat bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil.  Lebih 15,000 keping poster dan filem penerangan mengenai pilihan raya pula akan diedarkan dan ditampal bagi menyeru orang ramai keluar mengundi. Penayangan filem penerangan itu akan dibuat ke seluruh negara melalui Jabatan Penerangan dan panggung wayang. Filem yang menunjukkan tatacara mengundi yang betul itu diselenggarakan oleh Jabatan Filem Negara diterbitkan dalam empat bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil manakala untuk Malaysia Timur, bahasa Kadazan dan Iban.[1]

Rukun Adab Pilihan Raya 1969

Seramai 24 orang wakil daripada 13 buah parti politik di Malaysia Barat dan Timur pada 27 Mac 1969 telah bersetuju menerima ‘Rukun Adab Pilihan raya 1969' yang mengandungi 11 perkara. Persetujuan itu dicapai dalam sidang tertutup yang diadakan oleh parti-parti tersebut di bilik mesyuarat Suruhanjaya Pilihan Raya. Rukun 11 perkara yang dipersetujui itu merupakan panduan untuk diamalkan bagi parti-parti politik dalam Pilihan Raya Umum Ketiga.[1]

Antara 11 perkara yang dipersetujui di dalam rukun itu ialah pemimpin-pemimpin parti politik, calon-calon, wakil-wakil calon, penyokong-penyokong, pembantu-pembantu dan pekerja-pekerja parti hendaklah mengamalkan adab yang boleh memberi tauladan. Kecaman-kecaman atas peribadi sesorang calon itu hendaklah setakat kegiatan-kegiatan politiknya sahaja.[1]

Kempen pemulauan pilihan raya

Parti Buroh Malaysia telah dilaporkan memperhebatkan kempen menyeru orang ramai supaya memulaukan pilihan raya yang akan diadakan pada 10 Mei 1969 itu. Kempen itu dijalankan dengan menyebarkan lebih banyak risalah yang menyeru orang ramai supaya jangan keluar membuang undi. Parti Buroh juga telah menggunakan isu pembunuhan seorang anggota Parti Buroh di Kepong sebagai salah satu daripada gerakan kempen mereka. Parti Buroh menyifatkan pembunuhan itu sebagai usaha bersama yang dijalankan oleh Malaysia dan Singapura, untuk mengekalkan kedudukan imperialis Amerika-British di negara ini.[1]

Setiausaha Agung Perikatan, Tan Sri T. H Tan turut mengeluarkan kenyataan yang menjangkakan kekacuan yang akan ditimbulkan oleh penyokong komunis dalam Parti Buroh pada hari pembuangan undi. Kekacauan itu bertujuan untuk menganggu perjalanan Pilihan Raya pada 10 Mei 1969. Kawasan yang dijangka  mungkin berlaku kekacauan ialah Jinjang, Batu, Bangsar, Menglembu dan beberapa kawasan lain yang pernah menjadi kubu kuat Parti Buroh.[1]

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Polis Pulau Pinang, Encik Albert Mah dalam satu kenyataan yang disiarkan di akhbar bertarikh 9 Mei 1969, telah menyeru pengundi-pengundi di Pulau Pinang supaya tidak mendengar berita-berita khabar angin yang mengatakan bahawa negeri Pulau Pinang akan dikenakan perintah berkurung pada hari pembuangan undi.[1]

Polis Siap Sedia

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamed Salleh telah menetapkan tindakan berjaga-jaga yang diambil oleh pihak polis bagi menjamin keselamatan 3.3 juta pengundi di Malaysia Barat agar dapat keluar mengundi tanpa sebarang ugutan, halangan dan paksaan. Pengumuman tersebut dibuat sebaik sahaja beliau menamatkan lawatan ke seluruh pasukan polis di tiap-tiap negeri. Pegawai-pagawai polis dari Cawangan Khas, mata-mata gelap dan mata-mata biasa telah diberi tugas khas untuk mencegah sebarang kemungkinan yang mungkin berlaku pada hari pembuangan undi. Pasukan Field Force, Pasukan Polis Simpanan Khas juga akan ditempatkan di kawasan penting dan merbahaya.

Sekatan-sekatan bagi jalan raya yang masuk ke pusat Kuala Lumpur juga telah dilakukan oleh Polis mulai 9 Mei 1969. Sekatan ini bertujuan untuk mencegah kemasukan senjata-senjata yang ditakuti akan digunakan oleh anasir-anasir jahat bagi melakukan kekacauan dalam Pilihan Raya Umum. Bas, teksi dan kereta telah diperiksa dengan rapi dalam sekatan polis yang diadakan di Cheras dan Sentul bagi kenderaan-kenderaan yang menuju ke Kuala Lumpur. Pasukan Polis Pencegah Rusuhan, Pasukan Polis Simpanan Persekutuan dan sepasukan askar telah diletakkan dalam keadaan bersiap sedia di Ibu Pejabat Polis Selangor. Kawalan keselamatan yang lebih ketat juga akan dilakukan oleh Polis di kawasan-kawasan yang mempunyai ramai ahli dan penyokong Parti Buruh Malaysia iaitu Kepong, Jinjang, Ampang dan Jalan Tuanku Abdul Rahman. Kawalan ketat itu dilakukan berikutan dengan desakan daripada Pari Buroh yang meminta orang ramai supaya memulaukan Pilihan raya 1969.[1]

Berkaitan